
Menurut Pengurus Program karnival itu, Nor Atiqah Mohd. Ali, pertandingan yang dinamakan Tahaju’ah itu merupakan usaha pihak penganjur untuk memberi pendedahan mengenai kepentingan dan keindahan bahasa Arab.
“Kami mahu lihat sejauh mana kemahiran para pelajar mengeja dalam bahasa Arab bagi soalan-soalan yang berkaitan dengan isu halal.
“Sehingga kini, sebanyak 12 buah sekolah sudah menghantar penyertaan melibatkan 40 orang pelajar. “Kami turut memberi peluang kepada orang ramai untuk mendaftar pada hari pertandingan tetapi hanya memilih 20 peserta,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.
Tambahnya, pertandingan itu akan diadakan pada hari terakhir karnival bermula pada pukul 3 hingga 5 petang dan 10 peserta akan dipilih untuk ke peringkat akhir. “Johan akan menerima wang tunai RM300, kedua RM200 dan ketiga RM100 selain sijil penyertaan,” jelasnya.
Karnival dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah dengan kerjasama DagangHalal.com. Kosmo! bertindak sebagai akhbar rasmi. Karnival tersebut akan dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 15 Mac ini.
No comments:
Post a Comment