Tentera Melayu Abad Ke-19
Catatan Inggeris dalam 'The Illustrated London News' keluaran 26.2.1876 ini menunjukkan jenis-jenis senjata yang digunakan oleh orang-orang Melayu yang menentang Inggeris semasa Perang Inggeris-Perak (1875-1876). Apa yang akhbar Inggeris ini ingin sorok dari pembacanya adalah fakta bahawa tentera Melayu ketika itu adalah tentera terlatih yang mempunyai senjatapi seperti rifal dan musket.
Akhbar propaganda Inggeris ini tidak menjelaskan perkara sebenar iaitu tentera Melayu dengan kekuatan 800 orang telah bertempur dengan 2,000 orang tentera Inggeris dari Pulau Pinang, India dan Hong Kong. Malah serangan pertama oleh pihak Inggeris berjaya digagalkan oleh tentera Melayu dan menyebabkan Kapten Innes dan beberapa orang tentera Inggeris dari rejimen ke-10 terbunuh.
Setelah beberapa kali serangan ke atas kubu Pasir Salak gagal akhirnya tentera Inggeris berjaya mengalahkan tentera Melayu yang bertahan di kubu tersebut pada 12.12.1875. Kubu Pasir Salak, masjid dan beberapa kampung sekitar kubu tersebut dibakar oleh tentera Inggeris melalui arahan William Jervois. Datuk Maharaja Lela dan pengikutnya berundur ke Sayong.
Sekiranya kita amati definasi istilah subjektif "tentera moden", ianya merangkumi persenjataan era moden dan juga suatu organisasi ketenteraan yang terlatih (organized modern military). Jadi sekiranya diaplikasikan definasi tersebut saya berpendapat bahawa Negeri-Negeri Tanah Melayu sudah mempunyai "tentera moden" sekitar pertengahan abad ke-19. Malah tentera moden terlatih telah wujud dalam pergolakan yang lebih awal dari Perang Inggeris-Perak iaitu dalam perang saudara Terengganu (1831-1839), perang saudara Kelantan (1835), perang saudara Pahang (1857-1863), dan perang saudara Selangor (1867-1874).
Persenjataan dan kelengkapan tentera Negeri-Negeri Tanah Melayu adalah bukan seperti perubahan drastik era Tokugawa kepada era Meiji di Jepun iaitu dari pedang dan panah terus naiktaraf ke senjata moden. Juga perlu diketengahkan bahawa pertahanan dan ketenteraan moden Negeri-Negeri di Tanah Melayu bukannya bermula dengan penubuhan Johor Military Force (JMF) pada tahun 1885 dengan 60 orang laskar Melayu, atau Pasukan Askar Melayu DiRaja pada tahun 1933 dengan 25 orang laskar Melayu. Kedua-dua pasukan tentera ini mendapat persetujuan dan kebenaran Inggeris dan dengan itu diiktiraf umum sebagai asal usul sejarah ketenteraan moden Tanah Melayu.
Seperti yang kita maklum, selain dari JMF, perkhidmatan ketenteraan dan kelengkapan senjata Negeri-Negeri Tanah Melayu dibawah Sultan-Sultannya telah dibubarkan selepas mereka dipaksa untuk menerima Sistem Residen. Ketika itu elemen penjajahan sebenar dapat dilihat apabila kuasa mutlak Raja-Raja Melayu telah dihadkan kepada isu Agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.
Dengan itu, sejarah ketenteraan dan persenjataan moden Negeri-Negeri Tanah Melayu tidak seharusnya dilihat dari pengiktirafan dan kacamata Inggeris sahaja. Ianya juga perlu dilihat dari aspek kewujudan barisan pertahanan dan persenjataan yang disediakan oleh Sultan yang memerintah setiap negeri. Apa yang pasti adalah ianya sudah lama wujud iaitu sebelum kedatangan Inggeris lagi.
No comments:
Post a Comment