Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan membantu para belia berniaga dengan menggunakan motosikal roda tiga mulai tahun ini.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka akan dilatih dan diberi pinjaman sehingga RM15,000 seorang tanpa faedah yang bayaran baliknya adalah antara tiga hingga tujuh tahun.
"Seramai 500 belia di seluruh negara akan diberi pinjaman modal. Dalam fasa pertama yang akan bermula tidak lama lagi, seramai 50 belia akan terlibat," katanya yang juga Anggota Parlimen Bera kepada pemberita selepas merasmikan program mesra bersama belia di Dataran Krayong di sini.
Beliau berkata sekurang kurangnya antara lima hingga 10 belia di setiap negeri akan diberikan peluang tersebut.
"Program ini akan dimulakan untuk belia-belia di Semenanjung sebelum diperluas di Sabah dan Sarawak secara berperingkat-peringkat," katanya.
Ismail Sabri berkata para belia berumur 18 tahun yang mempunyai lesen memandu dan berminat untuk menjalankan perniagaan menggunakan motosikal akan diberikan keutamaan.
Sehingga ini seramai 500 belia telah membuat permohonan bagi menyertai program itu yang dilaksanakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, katanya
No comments:
Post a Comment