Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, jahil ilmu agama membuatkan sesetengah pihak tertarik dengan pendekatan ajaran Syiah.
“Banyak ajaran dalam fahaman Syiah yang memudahkan agama. Antaranya ialah nikah mutaah yang membenarkan seseorang kahwin secara kontrak dan solat jamak pada bila-bila masa.
“Bagi mereka yang malas dalam hal ibadah, tawaran ini pastinya menjadi tarikan. Kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh golongan Syiah untuk menghasut dan sebarkan fahaman mereka,” katanya.
Katanya, kekeliruan sumber antara Syiah dan Sunnah juga merupakan antara faktor masyarakat terpengaruh.
“Apabila masyarakat tak dapat bezakan sumber Syiah dan Sunnah, akan timbullah keraguan. Jadi, mudah untuk golongan Syiah menyerang hadis Sunnah.
“Orang mula ragu dengan kitab Sunnah. Sedikit demi sedikit mereka terpengaruh fahaman Syiah,” katanya.
Sementara itu, pendakwah terkenal, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, golongan profesional paling banyak terpengaruh fahaman Syiah di negara ini.
Katanya, pemimpin politik dan pensyarah universiti antara yang pernah dilaporkan terlibat dalam kegiatan Syiah.
“Golongan profesional ini kebiasaannya mahukan perubahan dalam tempoh segera. Apabila ada peluang mendalami agama dengan cara yang mudah, mereka terpengaruh.
“Walaupun memiliki pendidikan tinggi, ilmu agama cetek membuatkan mereka mudah tertarik ajaran Syiah. Sedangkan agama bukan isu remeh,” katanya.
No comments:
Post a Comment